PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan dilaksanakan mengikut proses sewajarnya.
Beliau menolak segala tohmahan dan dakwaan sebelum ini, menekankan bahawa proses tersebut mematuhi prinsip Keluhuran Perlembagaan.
“Majlis Raja-Raja kali ini membuktikan proses berjalan baik dan kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan 122B. Ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini,“ kata Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal.
Beliau turut membidas dakwaan campur tangan dalam pemilihan calon jawatan tertinggi badan kehakiman, termasuk fitnah terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
“Nama beliau tidak pernah diusulkan oleh saya atau dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong,“ jelasnya.
Anwar menyeru agar budaya fitnah terhadap institusi kehakiman dihentikan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti badan tersebut.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. - Bernama