SEREMBAN: Pelarasan tarif air di Negeri Sembilan tidak akan membebankan rakyat sebaliknya memberi manfaat perkhidmatan lebih baik pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau menegaskan pelarasan itu tidak dibuat secara sesuka hati tetapi melalui kajian menyeluruh bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Kebanyakan negeri juga bersetuju dengan kenaikan tersebut.
“Pelarasan ini membolehkan kita menyelaraskan semula hutang RM700 juta yang ditanggung Pengurusan Aset Air Berhad Negeri Sembilan semasa pembinaan Pusat Rawatan Air Ngoi-Ngoi 2 dan penyediaan empangan baharu,“ jelas Aminuddin.
Dengan tarif baharu, pengurusan Air Tidak Terhasil dapat diperbaiki dan penggantian paip menyeluruh akan dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri ini.
Kos operasi kini meningkat dengan ketara akibat kenaikan tarif elektrik, menambah beban RM700,000 sebulan sejak Julai lepas terutamanya bagi sektor komersial dan industri.
Bagi pengguna domestik, kadar subsidi masih dikekalkan untuk 40 meter padu. “Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen daripada kos rawatan dan pengurusan air,“ ujar Aminuddin.
Kos sebenar rawatan air di Negeri Sembilan adalah antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu, tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen, bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen.
Aminuddin menasihati rakyat memahami rasional kenaikan dan menyokong usaha kerajaan bagi memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.
Semalam, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos, kecuali Perak. - Bernama