LONDON: Pelari maraton veteran Britain, Fauja Singh, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Punjab, India pada usia 114 tahun. Menurut laporan media tempatan, beliau dilanggar kereta ketika cuba melintas jalan di kampung kelahirannya, Beas Pind berhampiran Jalandhar.
Kematiannya disahkan oleh kelab lariannya, “Sikhs In The City”, yang berpangkalan di London. Kelab itu juga memaklumkan bahawa acara larian mereka yang akan datang di Ilford, timur London, adalah sebagai penghormatan kepada pencapaian dan legasi mendiang.
Fauja Singh, yang menetap di Ilford sejak 1992, terkenal sebagai pelari maraton yang memecahkan pelbagai rekod dalam kategori umur berbeza. Beliau menjadi inspirasi kepada ramai atlet kerana terus aktif berlari walaupun selepas melepasi usia 100 tahun.
Menurut profil rasmi Olimpik, Fauja Singh dilahirkan pada 1 April 1911 di Punjab dan merupakan anak bongsu dalam keluarga petani. Selepas kematian isterinya, Gian Kaur, beliau berhijrah ke England dan menetap di timur London bersama anak lelakinya.
Fauja Singh mula serius menyertai dunia larian pada tahun 2000 ketika berusia 89 tahun. Maraton pertamanya di London diselesaikan dalam masa enam jam 54 minit, sekaligus memecahkan rekod dunia bagi kategori usia 90 tahun ke atas.
Beliau kemudiannya menyertai pelbagai acara maraton lain, termasuk Maraton Toronto Waterfront 2003, di mana beliau mencatat masa terbaik peribadi iaitu lima jam 40 minit. Pada 16 Oktober 2011, Fauja Singh dipercayai menjadi manusia pertama berusia lebih 100 tahun yang berjaya menamatkan maraton.
Sebelum bersara pada usia 101 tahun, beliau sempat membawa obor Olimpik sempena Sukan Olimpik London 2012. - Bernama/Anadolu