KUALA LUMPUR: Daripada pelbagai kaum tanpa mengira usia, lebih 12,000 orang tampil mencerminkan “wajah Malaysia” dengan menggayakan pakaian tradisional pada program Keretapi Sarong 2024 (KS 2024) hari ini, menarik perhatian orang ramai terutama pelancong asing.

Bertempat di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Jalan Ampang di sini, edisi kelapan program yang merupakan wadah perpaduan itu turut disertai pempengaruh dan artis tempatan, antaranya Khairul Aming, Pinn Yang, Sabri Yunus dan Angelina Tan.

Rata-rata mereka yang hadir kelihatan anggun dan segak menggayakan pakaian tradisional seperti kain pelekat, sarung, baju kurung, kebaya Melayu klasik, sari serta baju etnik Sabah dan Sarawak, menunjukkan identiti Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya dan warisan.

Tidak hanya dimeriahkan dengan persembahan tarian dan nyanyian seperti tarian singa, paluan kompang dan bacaan Rukun Negara, acara ‘flash mob’ atau persembahan kilat berkumpulan yang berlatarkan lagu-lagu rakyat menjadi tarikan utama dan paling ditunggu-tunggu oleh orang ramai sejak program itu dimulakan pada 2017.

Pengarah program KS2023 Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata kali ini, jumlah peserta berpakaian tradisional meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyerlahkan lagi semangat perpaduan dan jenama Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kelainan paling besar tahun ini berbanding penganjuran pada tahun-tahun sudah ialah tahun ini kita buat dua hari awal, bagi menghormati Sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada 16 Sept, yang juga Hari Malaysia.

“Pun begitu, sambutan tetap meriah dengan tempat ini sahaja boleh memuatkan kira-kira 6,000 orang dalam keadaan selesa, tapi melihat jumah peserta yang begitu padat hingga ada terpaksa di luar jalan, tak mustahil jumlah keseluruhan menjangkau lebih 12,000,” katanya kepada Bernama.

Pada tahun ini, program KS2024 yang bertemakan Bangga Malaysia dimulakan serentak dari sembilan stesen tren RapidKL dan Express Rail Link (ERL) sebelum bergerak dan berkumpul di Lanai, MaTiC.

Selain acara utama di Lembah Klang, program sama turut berlangsung di lokasi terpilih, iaitu Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam, Alor Setar serta dua lokasi luar negara - Paris di Perancis dan Berlin, Jerman.

Sementara itu, seorang peserta Kamarulzaman Mahyudin, 31, berkata dia menyewa pakaian tradisional etnik Dusun, iaitu sinipak, dari sebuah butik di sini, demi menunjukkan kelainan.

“Difahamkan pakaian tradisi ini diperagakan oleh etnik Dusun dan lazimnya dipakai di majlis-majlis kebesaran dan adat istiadat seperti perkahwinan.

“Walaupun saya berasal dari Bentong, Pahang, saya mengenakan pakaian berbeza ini kerana ramai kawan-kawan termasuk abang dan kakak ipar saya berasal dari Sabah. Selain itu, saya ingin menzahirkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan budaya,” katanya.

Bagi warga emas Loo Mee Wan dari Bandar Utama, Damansara, dia dan 12 rakannya yang sebaya usia, teruja dapat hadir dan memberikan sokongan kepada program KS2024 dalam usaha mempromosikan kepelbagaian budaya dan identiti negara.

“Kami berpakat datang ke acara ini berpakaian tradisional kebaya dengan menaiki tren dari Stesen LRT Subang Jaya dan tidak menyangka sepanjang perjalanan kami menjadi perhatian ramai orang yang mahu mengambil gambar bersama.

“Terasa seperti kembali ke zaman muda apabila bersama-sama mereka (golongan muda) dengan berpakaian yang indah dan cantik. Masing-masing sopan dan bangga mempromosikan imej unik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal Khairul Aming berkata program tersebut sangat penting bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia hadir pada acara yang bersifat perpaduan.

“Hari ini kita boleh nampak ramai orang, tak kira umur, bangsa dan agama, duduk beramai-ramai dan pakai baju yang cantik. Saya rasa (menjadi) tanggungjawab saya sebagai pencipta kandungan untuk datang rakam dan muat naik (ke media sosial) kemeriahan tradisi ini supaya kebaikan ini dapat disebarluaskan,” katanya.