GEORGE TOWN: Pemain catur remaja Shen Ree Herng telah diiktiraf sebagai penerima Piala PMX bagi “Prestasi Terbaik Keseluruhan Peserta Malaysia” dalam Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ ke-23. Trofi berprestij itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib semasa majlis makan malam penutup kejohanan.
Ree Herng, 15, yang mewakili Selangor, berjaya menduduki tempat kelima dalam kategori 16 tahun, mengatasi ramai pesaing dari 30 peserta. Vietnam muncul sebagai juara kategori tersebut.
“Saya tidak menyangka akan menerima penghargaan ini. Ia memberi semangat untuk saya terus berusaha mencapai tahap lebih tinggi,“ kata Ree Herng ketika ditemui Bernama. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya itu bercita-cita untuk meraih gelaran FIDE Master dan terus bersaing di peringkat antarabangsa.
Ree Herng mula bermain catur sejak berusia tujuh tahun dan kini berlatih di bawah bimbingan jurulatih peribadi. Kejohanan ini menyaksikan penyertaan lebih 400 pemain muda dari 21 negara, termasuk Amerika Syarikat, China, dan Jepun. - Bernama