PUTRAJAYA: Sembilan projek yang dibangunkan pemaju hartanah tempatan berjaya merangkul lima pingat emas dan empat pingat perak dalam pertandingan berprestij dunia, FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2025 yang diadakan di Lagos, Nigeria, Khamis lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kejayaan itu membuktikan potensi dan keupayaan tinggi pemaju hartanah tempatan untuk bersaing secara kompetitif di peringkat global.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mengiktiraf dan menghargai pemaju terunggul negara.

“Ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan dan mengangkat nama baik Malaysia di mata dunia,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengiktirafan antarabangsa itu secara langsung meningkatkan kredibiliti dan reputasi pemaju hartanah Malaysia, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur serta membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pelaburan dari luar negara.

FIABCI World Prix d’Excellence Awards diiktiraf sebagai antara anugerah paling berprestij dalam industri hartanah global dan sering digelar setaraf ‘Anugerah Oscar’ dalam sektor hartanah.

Antara projek tempatan yang merangkul pingat emas dalam pertandingan itu ialah The Light Collection IV di bawah Residential Low Rise Category yang dibangunkan IJM Land Bhd; Nouvelle Industrial Park @ Kota Puteri Malaysia di bawah Industrial Category yang dibangunkan Exsim Group; dan Iringan Bayu Wetland Park (Environmental Category), dimajukan OSK Property Holdings Bhd.

Turut membawa pulang pingat emas itu ialah TSLAW Tower (Office Category) yang dimajukan oleh TSLAW Land Sdn Bhd, dan I-Santorini (Affordable Housing Category), yang dibangunkan Ideal Property Property Group.