IPOH: Pemandu dan seorang penumpang cedera parah dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, Manjung, kira-kira 62 kilometer dari sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata bas ekspres terbabit dinaiki 18 penumpang lagi yang turut cedera ringan dipercayai dari Lumut menuju ke Ipoh.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.38 petang.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian kemalangan melibatkan Toyota Hilux dan sebuah bas ekspres yang terbabas ke dalam parit di bahu jalan.

“Tiada mangsa yang tersepit, bagaimanapun terdapat dua mangsa iaitu pemandu lelaki bas ekspres dan seorang penumpang wanita mengalami kecederaan parah,“ katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Sabarodzi, anggota bomba turut memberi perawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah dengan dibantu pegawai perubatan.

“Pemandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mangsa yang parah kemudiannya dihantar ke Hospital Seri Manjung menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Manjung dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua mangsa yang mengalami kecederaan ringan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.17 malam,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang juga dari Lumut menuju ke Ipoh menukar lorong secara melulu.

“Kenderaan Toyota Hilux berada di lorong kanan sebelum mengubah haluan ke kiri secara tiba-tiba untuk ke lorong kiri (ke arah laluan bas ekspres).

“Tindakan itu menyebabkan pemandu bas ekspres tidak sempat menekan brek lalu gagal mengawal kenderaan dan kemudian terbabas,“ katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image