JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing berusia 67 tahun mengalami kerugian RM301,300 selepas diperdaya skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian itu berlaku pada April lalu.
Mangsa diperkenalkan kepada skim pelaburan saham luar negara oleh seorang wanita tempatan yang baru dikenali.
“Mangsa melakukan 11 transaksi ke empat akaun bank berbeza tetapi tidak menerima sebarang keuntungan. Dia diminta bayar lagi kononnya untuk pengeluaran hasil,“ kata Mohd Sohaimi.
Laporan polis dibuat selepas mangsa gagal hubungi suspek dan sedar ditipu. Siasatan awal melalui platform Semak Mule mendedahkan tiga akaun terlibat mempunyai rekod 27 laporan penipuan pelaburan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. “Siasatan turut merangkumi unsur ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424,“ jelas Mohd Sohaimi. - Bernama