IPOH: Seorang pemandu lori muatan telur maut apabila kenderaannya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori muatan buah-buahan, di Kilometer 367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Slim River, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari arah Sungkai menghala ke Slim River, kira-kira pukul 5.45 pagi.

“Sebuah lori telah merintangi jalan dan semua lorong terhalang, sehingga menyebabkan aliran trafik terhenti sepanjang 13 kilometer. Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihatkan untuk keluar ke tol Tapah, Bidor atau Sungkai sebagai laluan alternatif, bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan laluan lintas semasa kerja pembersihan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor, dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.40 pagi tadi.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan tiga buah lori iaitu lori muatan telur ayam serta dua buah lagi lori muatan buah-buahan.

“Ketiga-tiga lori ini telah berlanggar dan terbalik merintangi dan menghalang sepenuhnya laluan di lebuh raya arah selatan.

“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam lori muatan telur ayam dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian, manakala dua lagi pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan ketika ini.