KOTA BHARU: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Tumboh Limbat, di sini, 26 Jun lepas.

Tertuduh Mohamad Zulazhar Ibrahim, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan di sebuah rumah di Perumahan Desa Darul Naim, Jalan 2 Pasir Tumboh Limbat, di sini, pada 9 malam, 26 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Julai ini untuk fakta kes dan hukuman.