BAGAN DATUK: Kerajaan kini dalam proses pengambilan tanah bagi membangunkan Bandar Baharu Bagan Datuk di sini, bagi mengembangkan potensi daerah itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pejabat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri daerah itu, termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah akan dipindahkan ke Bandar Baharu Bagan Datuk, setelah pembangunannya siap dalam tempoh beberapa tahun.

“Seluas 385 ekar (155 hektar) telah diusahakan untuk pengambilan tanah dan peruntukan untuk pengambilan tanah ini akan diselaraskan oleh pejabat daerah dengan peruntukan daripada kementerian dan jabatan agensi masing-masing, termasuk jabatan di bawah kerajaan negeri Perak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian pada sidang media selepas melawat Mini Showcase anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pembangunan itu penting, selaras dengan kewujudan Bagan Datuk sebagai daerah yang ke-12 terbaharu di Perak, selain pembangunan pekan sedia ada tidak dapat dikembangkan disebabkan masalah ketiadaan tanah.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan turut diperoleh bagi pembinaan jejambat di Pekan Simpang Empat, Hutan Melintang bagi mengurangkan kesesakan di waktu puncak dan ketika cuti hari perayaan.

“Jambatan tu satu perubahan yang kita telah lama harapkan namun di bawah Kerajaan Madani, perkara itu telah diberikan kesinambungan, di samping jalan empat lorong daripada Simpang Empat hingga ke pekan Bagan Datuk.

“Lebih RM500 juta peruntukan diperoleh bagi menyambung jalan empat lorong yang telah dibatalkan sebelum ini,” katanya sambil berterima kasih kepada NCER, yang menyelaraskan serta melakukan koordinasi bersama Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menghadiri Majlis Penganugerahan Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS) 2023 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempertimbangkan pemberian peruntukan bagi menaik taraf mercu tanda yang dibina pada tahun 1885 itu.

Pada majlis tersebut, Mohamad Zulkefli Mohd Jais, 28, yang merupakan anak kelahiran Teluk Intan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama BMS 2023 dan menerima hadiah wang tunai RM30,000 akan mewakili negara ke GwangjuBiennale2024 di Korea, manakala terdapat empat pemenang yang dipilih untuk menerima Anugerah Juri yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000.

Selain itu, 10 peserta dengan undian tertinggi juga dipilih bagi Pilihan Pelawat (Dalam Talian) dan Pilihan Pelawat (Di Lokasi), masing-masing menerima wang tunai bernilai RM1,000.

Ahmad Zahid kemudian menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah Parlimen Bagan Datuk Tahun 2024 kepada 1,500 orang pelajar di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image