KUALA LUMPUR: Pemberi maklumat yang ingin dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tidak boleh membuat pendedahan terus kepada media.
Sebaliknya, mereka perlu merujuk terlebih dahulu kepada agensi penguatkuasaan yang sah bagi memastikan maklumat yang diberikan adalah tepat dan tidak mendedahkan rahsia negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa prosedur ini penting untuk mengelakkan risiko maklumat sensitif terdedah secara terbuka.
“Pemberi maklumat mesti pergi kepada agensi yang bertanggungjawab sebab agensi perlu menilai kesahihan maklumat terbabit,“ katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Azalina menegaskan bahawa media tidak sepatutnya menjadi platform untuk “trial by media” yang boleh menjejaskan proses undang-undang.
“Kalau dia pergi kepada media, akan wujudnya satu premise trial by media, maknanya media dah membuat keputusan, orang awam dah buat keputusan tentang kesalahan,“ jelasnya.
Kerajaan kini dalam fasa pertama pindaan Akta 711, termasuk penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat untuk menyelia aduan dan data berkaitan. Pindaan juga akan melibatkan penambahbaikan Seksyen 6 bagi memastikan perlindungan tetap sah walaupun melibatkan maklumat sulit.
Bagi kes berprofil tinggi, identiti pemberi maklumat akan dilindungi secara automatik di bawah Seksyen 8 Akta 711. Azalina turut menyebut cadangan penubuhan sistem ombudsman bebas bagi memastikan perlindungan lebih kukuh. - Bernama