Your Title

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang, Johor yang bermula pagi semalam dijadual selesai sepenuhnya Sabtu depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fasa satu kerja-kerja pembersihan dilakukan kontraktor dilantik di kawasan terjejas melibatkan pengumpulan sisa sampah berminyak yang kini sudah mencapai 95 peratus.

Beliau berkata fasa kedua pembersihan melibatkan penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil pula sudah 20 peratus selesai.

“Kerja-kerja pembersihan lain seperti pengumpulan tarball di permukaan pantai dan pengepungan air berminyak menggunakan absorbent boom untuk mengelakkan mengalir ke arah laut juga giat dilakukan.

“Ia melibatkan kawasan pantai Sungai Rengit iaitu di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rengit dan Jeti Nelayan Sungai Rengit,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Kita (Setiawangsa) di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata penemuan minyak juga dilapor dikesan di kawasan Pulau Cik Kamat dan kontraktor akan dihantar untuk melakukan pembersihan selepas penilaian keadaan di kawasan itu selesai.

Beliau berkata sehingga hari ini status lokasi lain antaranya kawasan berbatu di belakang Balai Polis Sungai Rengit masih belum dibersihkan manakala pemantauan terus dilakukan di Pantai Teluk Ramunia berhampiran kawasan masjid di situ.

“APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) telah menggerakkan aset untuk memantau perairan Pengerang hingga ke Abu Bakar Maritime Base dan setakat ini tiada tompokan minyak dikesan di kawasan terbabit,” katanya.

Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak supaya kerajaan menuntut ganti rugi kepada pihak terlibat sehingga berlakunya insiden tumpahan minyak itu, Nik Nazmi berkata kerajaan akan memperhalus tuntutan berkenaan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Media sebelum ini melaporkan pada 14 Jun lepas, sebuah kapal Vox Maxima dari Belanda melanggar kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura yang menyebabkan kira-kira 400 tan tumpahan minyak di perairan sekitar pantai Singapura dan merebak ke perairan negara.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penemuan 40 beg jumbo yang disyaki mengandungi bahan buangan terjadual di sebuah kawasan lapang dekat Kulim, Kedah semalam, Nik Nazmi berkata Jabatan Alam Sekitar masih melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kementerian juga telah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) dibuat Pihak Berkuasa Tempatan di hotspots kawasan pembuangan serta lokasi-lokasi strategik bagi menangani masalah sama daripada berulang,“ katanya.