KUALA TERENGGANU: Tahap kemajuan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mencapai 86 peratus setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata peratusan itu sekali gus menjadikan Terengganu sebagai lokasi pembinaan yang paling cepat berbanding lokasi lain iaitu di Selangor, Pahang dan Kelantan.

“Saya percaya dengan keupayaan dimiliki Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan rakan kontraktornya, mereka mampu menyiapkan projek ini sebagaimana yang dijadualkan,” katanya selepas melawat dua stesen ECRL di Chukai dan Kemasik hari ini.

Ahmad Samsuri berkata pihaknya juga akan memastikan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang dirangka di kawasan sekitar enam stesen projek ECRL di negeri itu dapat disiapkan pada tempoh masa yang sama.

“Kita tidak mahu apabila ECRL siap, tetapi kita belum buat apa-apa lagi untuk TOD. Sebab itu kita telah adakan perbincangan di peringkat kerajaan negeri pagi tadi menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Lepas ini pun saya akan turun ke daerah-daerah lain untuk meninjau reka bentuk (stesen) dan perkara lain,” katanya.

Beliau berkata terdapat komponen dalam TOD yang melibatkan hal komersial dan bukan komersial yang boleh disertai rakyat termasuk ahli perniagaan untuk memanfaatkan ECRL secara maksimum bagi menjana ekonomi negeri.

“Jadi, ini antara perkara yang kita inginkan di sekitar kawasan ECRL supaya ia bukan semata-mata menjadi suatu bentuk jaringan pengangkutan penumpang mahupun kargo, tetapi boleh jana ekonomi negeri dan akhirnya kembali kepada rakyat,” katanya.