JOHOR BAHRU: Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Malaysia dan Singapura membabitkan pembinaan infrastruktur rel landasan kereta api fasa satu siap sepenuhnya hujung bulan lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata akses kepada infrastruktur kereta api juga telah diberikan kepada Op Co sejak 30 Sept lepas bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan sistem dimulakan.
Beliau berkata pencapaian besar dalam Perjanjian Konsesi (CA) RTS Link juga dicapai akhir Disember lepas apabila InfraCo MY (MRTS Sdn Bhd) memberi akses kepada OpCo (RTS Operations Pte Ltd) ke infrastruktur utama landasan kereta api RTS Link termasuk Depot Penyelenggaraan, Stesen Bukit Chagar serta jambatan darat dan marin.
“Ini termasuk pemasangan pelbagai sistem utama termasuk kerja-kerja landasan, bekalan dan pengagihan tenaga, telekomunikasi, sistem semboyan, pintu skrin platform serta sistem kutipan tambang atau pagar automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu Bukit Chagar antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Sdn Bhd di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata sasaran utama untuk tahun ini adalah penyaluran kuasa dan kerja penyiapan sepenuhnya di depot, kedua-duanya dijadualkan siap pada Jun.
Beliau berkata fokus utama pembangunan RTS Link tahun ini termasuk memulakan pemasangan fasad stesen di Stesen Bukit Chagar.
“Selain itu, kerja-kerja pemasangan persiapan akses ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North pula akan dimulakan menjelang April, diikuti penyaluran kuasa di Wadihana Depot menjelang 30 Jun, akses agensi Malaysia dan Singapura ke Kompleks CIQ menjelang Ogos,” katanya.
Kerja-kerja luaran RTS Link dijangka siap menjelang akhir tahun ini manakala penyiapan sepenuhnya stesen pula menjelang 28 Feb 2026.
Projek RTS dijadualkan siap pada Disember 2026 serta beroperasi awal 2027 yang akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North, dan tempoh perjalanan dijangka mengambil masa lima minit.
RTS Link ialah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.
MRT Corp dipertanggungjawabkan membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur yang akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
RTS Link bakal menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka mengurangkan lagi kesesakan di Tambak Johor yang mencecah kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala.