BAITULMUQADDIS: Human Rights Watch (HRW) mengklasifikasikan pembunuhan orang awam yang mencari bantuan makanan di Gaza oleh tentera Israel sebagai jenayah perang. Laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) memetik kenyataan HRW yang mengecam sistem pengagihan bantuan Israel sebagai tidak adil dan berdarah.
Keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza disebut sebagai akibat langsung dari penggunaan kebuluran sebagai senjata perang oleh Israel terhadap penduduk awam. HRW menegaskan bahawa menghalang bantuan penting daripada sampai kepada rakyat Palestin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan dan bentuk genosid.
HRW mendesak masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Israel untuk menghentikan keganasan di lokasi pengagihan bantuan. Mereka juga menyeru penghapusan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan serta penggantungan sistem pengagihan yang tidak berfungsi oleh AS dan Israel.
Pertubuhan itu meminta PBB dan agensi kemanusiaan lain menyambung operasi bantuan di seluruh Gaza tanpa halangan. HRW menekankan kemampuan mereka memenuhi piawaian kemanusiaan dan mematuhi keputusan ICJ berkenaan kes genosid yang difailkan Afrika Selatan terhadap Israel. - Bernama-WAFA