• 2025-06-23 07:33 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan dukacita terhadap pemergian pengasas Sri Murugan Centre (SMC) Tan Sri Dr M Thambirajah yang disifatkan sebagai tokoh pendidikan berpengaruh dan berjiwa besar.

Menerusi hantaran di platform X, Ahmad Zahid berkata mendiang bukan sekadar seorang pendidik, malah merupakan mentor, guru dan pensyarah beliau semasa menuntut di Universiti Malaya (UM).

“Hubungan kami amat akrab dan kami berkongsi tekad yang sama bahawa pendidikan ialah pemangkin utama perubahan sosial,“ katanya.

Ahmad Zahid berkata pemergian Thambirajah satu kehilangan besar buat negara khususnya dalam perjuangan memartabatkan pendidikan masyarakat India.

Namun, legasi mendiang akan terus hidup menerusi kejayaan pelajar yang pernah mendapat bimbingannya, keluarga yang dibela martabatnya, serta nilai-nilai murni yang disemai melalui usaha pendidikan di SMC.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga mendiang serta warga SMC. Segala jasa dan pengorbanan beliau akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada kita semua,“ katanya.

Thambirajah menubuhkan SMC pada 1982 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan sahsiah masyarakat India di Malaysia dan beliau meninggal dunia hari ini pada usia 83 tahun.