KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop berkata tiada arahan untuk mana-mana petugas untuk like, share, dan promote kempen pemimpin tertentu dalam Pemilihan PKR 2025.
Beliau berkata dakwaan yang mengaitkan jabatan itu dengan pemilihan parti, adalah tidak berasas.
“Semua kakitangan J-KOM menjalankan tugas secara profesional dan berintegriti, selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan.
“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa J-KOM terlibat dalam berkempen untuk mana-mana pemimpin dan digunakan untuk menyerang pemimpin-pemimpin tertentu. Tiada sebarang arahan rasmi dikeluarkan untuk aktiviti seperti itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi, J-KOM sentiasa komited menyampaikan maklumat yang tepat, adil, dan berimbang, demi memperkukuh sistem demokrasi dan kestabilan negara.
“Saya mengingatkan semua pihak agar berhenti menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi jabatan ini,” katanya.