SEREMBAN: Seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku mengajar isterinya ajaran sesat berkaitan Millah Abraham di Felda Palong 3, Gemas, tahun lepas.

Hakim Ruzita Ramli membuat keputusan itu selepas Norasid Md Said, 50, mengaku mengajar ajaran yang berlawanan hukum syarak kepada isterinya dengan menyatakan bahawa “selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul rasul baharu.”

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 260, Felda Palong 3 antara 10 dan 11 malam dari 1 hingga 30 Sept lepas mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli, Mohd Hafiz Mohd lazim dan Mohd Amil Yahya manakala Norasid tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abdul Wafi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira perbuatan itu memudaratkan akidah penganut Islam.

Norasid, yang mempunyai tiga anak, memohon hukuman ringan atas alasan dia adalah penghidap HIV dan bekerja sendiri serta melakukan kerja-kerja lain dengan pendapatan kurang daripada RM1,200 sebulan.

Bagaimanapun, dia minta dibicarakan atas dua lagi pertuduhan iaitu mengajar isterinya berkaitan lafaz syahadah yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu “aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Tuan semesta alam dan Rasul Mesiah adalah Pesuruh Tuan sekalian alam” di lokasi dan masa sama antara 1 hingga 30 Jun 2023.

Dia juga didakwa mengajar isterinya bahawa “solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek” di lokasi dan masa sama antara 1 hingga 31 Ogos 2023.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat perlu melapor diri di pejabat penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dua minggu sekali.

Ruzita membenarkan Norasid diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat penguat kuasa JHEAINS dua minggu sekali dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Okt depan.