WASHINGTON: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat meluluskan satu resolusi yang menyokong Deklarasi New York, yang bertujuan mengiktiraf sebuah negara Palestin dan memajukan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Resolusi tersebut, yang secara rasmi bertajuk “Sokongan kepada Pengisytiharan New York mengenai Penyelesaian Damai Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara,” diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang, dan 12 berkecuali.
Deklarasi yang diperkenalkan oleh Perancis dan Arab Saudi itu telah pun ditandatangani bersama oleh 17 negara anggota semasa satu persidangan antarabangsa di ibu pejabat PBB di New York pada Julai lalu.
Teks tersebut menggariskan pelan tindakan untuk keamanan, termasuk gencatan senjata segera di Gaza, pembebasan tebusan, pelucutan senjata Hamas serta pengecualiannya daripada tadbir urus di Gaza, normalisasi hubungan antara Israel dan negara-negara Arab, serta “tindakan bersama untuk menamatkan perang di Gaza.”
“Deklarasi ini berpunca daripada kerja yang berlangsung sepanjang persidangan dari 28 hingga 30 Julai 2025 di New York, dan ia dirangka bersama 17 pengerusi bersama kumpulan kerja,” katanya.
“Deklarasi ini menetapkan satu pelan tindakan tunggal untuk merealisasikan penyelesaian dua negara,” kata Wakil Tetap Perancis ke PBB Jerome Bonnafont.
Wakil Palestin ke PBB Riyad Mansour mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang menyokong deklarasi itu, sambil menambah: “Bagi mereka yang mahukan keamanan, sertailah kami. Bagi mereka yang mahu menyelamatkan nyawa, sertailah kami.”
Israel dan Amerika Syarikat menentang resolusi itu. Duta Israel ke PBB Danny Danon berkata, “Pengesahan terhadap apa yang disebut sebagai deklarasi ini bukanlah usaha serius untuk mewujudkan keamanan.”
Wakil AS Morgan Ortagus pula berkata teks itu “menjejaskan usaha diplomatik serius untuk menamatkan konflik,” sambil menambah bahawa ia telah “menguatkan Hamas dan menjejaskan prospek perdamaian.”
-- BERNAMA-ANADOLU