TUMPAT: Polis Kelantan telah merakam keterangan seorang doktor berusia lingkungan 60-an berhubung kes penahanan isteri dan dua anak lelakinya, yang disyaki terbabit dengan pengedaran dadah dan pemilikan senjata api di sebuah banglo di Ketereh baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihak polis berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan setakat ini.
“Semasa serbuan dijalankan, doktor itu tiada di rumah dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan yang berlaku di kediamannya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Selasa lepas, polis menahan dua beradik tiri bersama ibu mereka dan merampas 35 kilogram ganja mampat serta sepucuk pistol bersama peluru serta kelonsong di Kampung But, Ketereh di sini, pada 4.30 pagi.
Suspek lelaki berusia 24 dan 34 tahun bekerja sebagai pembantu di klinik milik bapa mereka, manakala wanita 46 tahun itu, seorang suri rumah - BERNAMA