• 2025-08-11 09:17 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memberikan insentif pelepasan cukai kepada pengguna pengangkutan awam bagi menggalakkan orang ramai termasuk golongan M40 dan T20 menggunakan kemudahan itu.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata langkah itu dapat menyokong usaha kerajaan dalam mencapai sasaran 40 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang 2030.

“Ketika ini, penggunaan pengangkutan awam kita masih rendah, sekitar 20 peratus daripada populasi sahaja,“ katanya ketika perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pihak terlibat dicadangkan untuk menetapkan sasaran jelas pembelian bas baharu pada setiap tahun bagi menambah baik kekerapan perkhidmatan berkenaan.

Azli Yusof (PH-Shah Alam) dalam perbahasannya berharap kerajaan dapat melipatgandakan usaha menambah hasil tanpa membebankan rakyat termasuk dengan menutup jurang ketirisan cukai.

Beliau turut mencadangkan memperkemas subsidi bersasar dan menyemak perbelanjaan operasi yang tidak produktif.

Kaedah pembiayaan projek juga perlu direformasi dengan model baharu seperti Perkongsian Awam-Swasta (PPP), Sukuk Hijau serta instrumen pelaburan sosial.

Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) pula mencadangkan kerajaan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional bagi unsur nadir bumi (REE).

Tujuannya adalah untuk merancakkan pembangunan industri nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negara ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata kerajaan perlu memberi penumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan dan inovasi (C&I).

“Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pemantauan dalam memastikan peruntukan RMK13 bagi aspek R&D serta C&I ini menghasilkan impak maksimum,“ katanya.

Dalam aspek pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mencadangkan supaya kemudahan prasekolah kerajaan digabungkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan guru Pasti tidak menerima gaji selaras dengan Dasar Gaji Minimum.

“Ada banyak aduan termasuk daripada guru soal penggajian yang diberikan RM600 atau RM700 atas alasan mereka sukarela dan bukannya pekerja,“ katanya.

Persidangan bersambung esok- BERNAMA