JOHOR BAHRU: Tiga sekolah di daerah ini melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hari ini susulan pencemaran bau.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya serta dua sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.

Beliau berkata SK Kampung Maju Jaya melibatkan 974 murid dan 64 guru, Sekolah Rendah Islam Hidayah 1,232 murid dan 92 guru manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah (807 pelajar, 75 guru).

“Setakat ini (PdPR) hari ini sahaja dahulu, (lanjutan tempoh) bergantung kepada situasi dan laporan semasa,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, SK Kampung Maju Jaya ditutup susulan 27 murid mengalami gejala pening dan muntah-muntah dipercayai akibat pencemaran bau yang berlaku di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal di sini.

Dilaporkan kesemua murid terbabit menerima rawatan awal di sekolah berkenaan oleh doktor dan jururawat dari sebuah klinik kesihatan, dengan hanya seorang dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata pihaknya mahu Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan menjalankan siasatan bagi menangani isu pencemaran dengan sebaik mungkin.