KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen setakat ini tidak mengesan penglibatan dalang dalam kejadian 131 pendatang asing meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Feb lepas, kata ketua pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata bagaimanapun siasatan lanjut tentang kejadian itu sedang dijalankan.
“(Jabatan) Imigresen tidak nampak lagi ada penglibatan dalang dalam kes berkenaan (131 pendatang meloloskan diri) dan siasatan masih dibuat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV hari ini.
Dalam menyiapkan siasatan kejadian itu, Jabatan Imigresen katanya, turut menemu bual beberapa tahanan yang berada di dalam depot imigresen berkenaan.
Menurut Ruslin, Jabatan Imigresen menjangkakan kertas siasatan kejadian itu siap akhir bulan ini.
Beliau berkata selain Jabatan Imigresen, siasatan turut dilaksanakan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.
Pada ketika ini katanya, Jabatan Imigresen memiliki 18 depot kekal dan dua depot sementara di Bidor serta Beranang, Selangor dengan penilaian jabatan menunjukkan keadaan keselamatan di depot sementara Beranang adalah terkawal.
Ruslin berkata sebaik sahaja menyelesaikan kertas siasatan, pihaknya akan meneliti perkara yang disyorkan dan mengemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Ditanya mengenai usaha mencari sebahagian daripada pendatang asing yang masih bebas, beliau berkata radius pencarian kini diperluas sejauh 15 kilometer.
“Dalam erti kata lain, Jabatan Imigresen tidak hentikan pencarian dan bilik gerakan masih dibuka. Saya yakin mereka ini (pendatang asing) tidak boleh bersembunyi dan bertahan lama dalam hutan. Lambat-laun mereka akan keluar dan meminta makanan daripada penduduk kampung,” katanya. - Bernama