PUTRAJAYA: Pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan pendekatan baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kurikulum Persekolahan 2027 yang dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi itu bermatlamat melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.
“Bagi kurikulum 2027 ini, kita memilih pendekatan yang lebih segar iaitu pendidikan karakter yang akan dilaksanakan sebagai satu slot masa khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga peringkat menengah atas.
“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” katanya semasa berucap bersempena dengan Bicara Profesional KPM Kurikulum Persekolahan 2027 di sini hari ini.
Beliau berkata fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan disesuaikan dengan setiap tahap persekolahan.
Fadhlina berkata KPM komited memastikan murid menguasai literasi 3M seawal mungkin untuk membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya kerana kegagalan menguasai kemahiran asas itu akan mengekang murid daripada merealisasikan potensi mereka.
Beliau berkata intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke Tahap Dua dan Tahap Tiga.
Fadhlina berkata satu slot khusus akan diperuntukkan bagi Kelas Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah.
“Kelas Pembelajaran Bersepadu ini merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin ilmu.
“Murid akan belajar mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam satu pengalaman pembelajaran yang holistik, bermakna, relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar. Slot pembelajaran ini akan dimasukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan pelaksanaan yang lebih berstruktur dan berkesan,” katanya.
Fadhlina berkata kurikulum prasekolah akan dibangunkan dengan memberi fokus untuk melahirkan murid yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dan bersosialisasi dengan yakin serta memiliki sifat kasih sayang, berdaya tahan, mampu menyelesaikan masalah dan berkeinginan untuk belajar melalui kaedah bermain dan meneroka.
Beliau berkata Kurikulum Persekolahan 2027 juga menyaksikan murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Satu (tahun satu dan dua); Tahap Dua (tahun tiga dan empat); serta Tahap Tiga (tahun lima dan enam).
Pada masa ini, murid sekolah rendah dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu (tahun satu, dua dan tiga) dan Tahap Dua (tahun empat, lima dan enam).
Beliau berkata fokus utama pembelajaran bagi pendidikan rendah Tahap Satu ialah penguasaan literasi dan numerasi serta pembangunan karakter, dan murid akan melalui pengalaman pembelajaran secara didik hibur agar mereka berminat untuk mengikuti pembelajaran secara formal dan bermotivasi untuk hadir ke sekolah.
Pendidikan rendah Tahap Dua pula menumpukan kepada penguasaan kemahiran mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah serta pembangunan karakter.
Beliau berkata pembelajaran pada Tahap Dua boleh diperluas kepada perkara yang lebih mencabar dan memerlukan rangsangan kognitif lebih tinggi serta murid juga berpeluang untuk mempelajari dan meneroka elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti kemahiran hidup, teknologi dan digital lebih awal.
“Pendidikan rendah Tahap Tiga melibatkan penguasaan kemahiran menganalisis dan menghasilkan inovasi. Pembelajaran juga berfokus kepada peningkatan keupayaan kognitif dan pembangunan karakter. Tahap ini merupakan persediaan ke sekolah menengah,” katanya.
Bagi pendidikan menengah rendah yang melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga, Fadhlina berkata mereka akan diberi peluang meneroka pelbagai bidang ilmu dan didorong mengenali minat dan potensi diri termasuk perkembangan bakat dan pembentukan karakter.
“Pendidikan menengah atas melibatkan murid tingkatan empat dan lima, dan pelajar disediakan dengan laluan bidang yang ingin diceburi ke peringkat pengajian tinggi dan dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat.
“Fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan lebih mendalam dan meluas serta pelajar juga akan diperkenalkan dengan pengalaman bekerja melalui perantisan,” katanya.
Beliau berkata Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat dimulakan dengan prasekolah pada 2026, manakala tahun satu dan tingkatan satu pada 2027.
Mengenai pentaksiran, Fadhlina berkata Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah yang bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.
“Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi.
“Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata-mata. Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid,” katanya. - Bernama