PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah diberikan tanggungjawab untuk mengambil tindakan lanjut susulan pengumuman pihak berkuasa tanah Singapura berhubung pengambilan dua bidang tanah milik Kerajaan Malaysia di Woodlands.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincang pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan laporan media semalam mengenai tindakan pihak berkuasa republik tersebut.

“Jemaah Menteri ada membincangkan tentang hal ini dan Menteri Kewangan II telah ditugaskan untuk melakukan beberapa tindakan susulan,” katanya pada sidang media mingguan di sini.

Semalam, Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah mewartakan perancangan pengambilalihan tanah terbabit bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP).

Dalam kenyataan bersama, SLA serta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan kedua-dua bidang tanah berkenaan yang berkeluasan kira-kira 0.79 hektar serta terletak berhampiran bahagian tengah tapak pembangunan semula, akan diambil alih oleh Kerajaan Singapura.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua lot merupakan kawasan bersemak dan tidak digunakan. SLA dan ICA memaklumkan mereka akan bekerjasama rapat dengan Malaysia sepanjang proses pengambilalihan itu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata isu berkaitan mobiliti dron sedang dalam tindakan susulan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi merangka dasar dan garis panduan yang lebih jelas mengenai penggunaannya.

Beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Sudah pasti masa perlu diberikan kepada MOT untuk meneliti dasar yang telah dipinda serta memberikan kemas kini khususnya berkaitan penggunaan dron dalam had tertentu dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 berkata kerajaan akan meneliti dasar penggunaan ruang udara altitud rendah dan mobiliti dron dalam Mesyuarat Kabinet.

Anwar berkata operasi dron setakat ini terhad di kawasan pedalaman namun mengakui keperluan untuk mengkaji perkara itu dengan lebih lanjut.