KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas seorang penganggur yang mengaku mengalih dan menyembunyikan wang berjumlah RM487,790 milik dua wanita berhubung pelaburan saham yang diiklankan di Facebook, tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhi hukuman itu ke atas Marchell Jeff Lee Sin Ket, 39, kerana menolong menyembunyikan wang RM314,790 kepunyaan Ong Boon Ian, 59, yang juga pemilik sebuah syarikat pelaburan, bagi tujuan penipuan di sebuah kondominium di Bandar Menjalara di sini dari 18 Nov hingga 12 Dis 2024.

Di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril pula, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan mengalih atau menyembunyikan wang RM173,000 milik eksekutif akaun syarikat produk kesihatan Chin Lit Teng, 49, di sebuah kondominium di Off Jalan Kuching Taman Sri Kuching, Sentul dari 7 Nov hingga 9 Dis 2024.

Lee, yang didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, diperintah menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang melayari Facebook dan melihat iklan pelaburan saham sebuah syarikat, telah mendaftar untuk menyertainya sebelum membuat transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke akaun bank atas nama Marchell Jeff Interior Design Haus Sdn Bhd sebelum mendapati beliau telah ditipu apabila tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan dan Raihanah Abd Razak manakala Lee tidak diwakili peguam.