KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba menyebabkan kematian dua anggota polis dengan melanggar mereka pada Ogos lepas.
Quah Mun Foo yang berusia 49 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Imanuil Soineh berusia 34 tahun dan Sub Inspektor Mohd Nor Erzuwan berusia 38 tahun.
Kejadian berlaku di pintu masuk sebuah pangsapuri di Jalan Tasik Permaisuri serta persimpangan lampu isyarat di Bandar Tasik Permaisuri Cheras antara 11.30 malam dan 11.40 malam 30 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun serta denda.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Md Hassan menawarkan jaminan 15,000 ringgit dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah.
Hakim Noridah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin 20,000 ringgit dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes. – Bernama