Penganggur mengaku bersalah rompak wanita guna parang

KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita di sebuah kedai runcit pada Mac lepas.

Tertuduh, Mohd Fauzan Mat Ali, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dengan bersenjatakan sebilah parang sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM1,000 terhadap seorang wanita berusia 48 tahun, di sebuah kedai runcit di Kampung Belukar Jalan Hospital, Panji, di sini, pada 11.30 malam 15 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri kerana dipercayai ibu bapa tertuduh merupakan warga Thailand dan mahkamah menetapkan 18 April sebagai tarikh fakta kes serta jatuh hukuman.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image