• 2025-07-31 03:08 PM

KUALA LUMPUR: Peluang menganjurkan temasya Sukan SEA 2027 akan digunakan untuk memperteguh imej Malaysia di mata dunia, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini hari ini berkata selain Sukan SEA 2027, negara juga akan menjadi tuan rumah bagi beberapa kejohanan sukan antarabangsa lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kesempatan menganjurkan sukan berprestij sebegini akan dimanfaatkan untuk memperteguh imej Malaysia di persada antarabangsa.

“Ia juga menjadi medan penting dalam menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Selain Kuala Lumpur, penganjuran Sukan SEA 2027 turut membabitkan tiga negeri lain iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan tersebut bagi edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ merupakan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 - BERNAMA