• 2025-07-03 09:35 PM

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pengarah di jabatan kerajaan pusat di Kelantan dalam masa terdekat atas dakwaan salah guna kuasa, rasuah, dan tuntutan palsu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pengarah berkenaan, yang hampir bersara, akan didakwa selepas timbalan pendakwa raya bersetuju dengan cadangan pertuduhan.

“Saya tidak mahu sebut namanya tetapi ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Pegawai kanan perkhidmatan awam itu mungkin akan dituduh dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang atau mungkin lebih cepat lagi,“ katanya.

Beliau menegaskan bahawa ini merupakan usaha berterusan SPRM Kelantan dalam menangani isu ketirisan dan rasuah.

“Ini merupakan strategi SPRM sebelum ini yang pernah saya umumkan, di mana kita melihat isu ketirisan dalam negara menjadi fokus kami untuk menyelesaikan isu-isu rasuah sebaik mungkin,“ jelas Azam.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Kelantan yang baharu, Azmin Yusoff, menggantikan penyandang sebelumnya, Rosli Husain.

Azam turut menyatakan bahawa sejak beliau bertugas di Kelantan dari 1989 hingga 2000, banyak perubahan telah berlaku dan pendekatan baharu diperlukan dalam operasi, pencegahan, serta pendidikan masyarakat.

“Sebarang tindakan mestilah mendatangkan kesan kepada masyarakat supaya mereka merasai tindakan SPRM,“ tegasnya.

Beliau juga menekankan pentingnya pegawai yang cekap dan berpengalaman dalam melaksanakan strategi pencegahan rasuah di seluruh negara.

“Kalau pengarah sendiri terlibat dalam isu jenayah, sudah tentu dia tidak boleh memimpin dan ini perkara yang perlu kita tekankan dalam perkhidmatan awam,“ kata Azam.

Siasatan kes tersebut telah selesai, dan SPRM akan mengumumkan kejayaan operasi itu dalam masa terdekat. – Bernama