• 2025-09-08 02:40 PM

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta.

Abu Sahid yang berusia 74 tahun merupakan Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd dan hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan tersebut.

Syarat tambahan termasuk penyerahan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan 3 November ditetapkan untuk sebutan kes.

Abu Sahid didakwa sebagai pengarah syarikat Maju Holdings Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan wang milik syarikat dalam akaun bank.

Beliau dituduh secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah lebih RM313 juta di sebuah bank di Bukit Tunku antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dengan sebatan serta denda.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Tiga pertuduhan lain membabitkan pelupusan hasil aktiviti haram berjumlah RM22,802,612.86 melalui pengeluaran tunai menggunakan 17 keping cek.

Pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib menyatakan pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan jumlah jaminan RM1.5 juta.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abu Sahid tidak membantah permohonan pendakwaan agar kes dibicarakan bersama.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya membenarkan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dibicarakan secara bersama. – Bernama