LONDON: Frederick Forsyth, pengarang The Day Of The Jackal, meninggal dunia pada usia 86 tahun selepas mengalami masalah kesihatan, lapor PA Media/dpa.
Ejen sasteranya, Curtis Brown memaklumkan bahawa penulis terkenal itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada pagi Isnin, dikelilingi oleh ahli keluarganya.
Bekas juruterbang dan wartawan penyiasat sebelum beralih kepada penulisan novel, terkenal dengan karya-karya thriller termasuk The Fox, The Kill List dan The Afghan.
“Kami berduka atas pemergian seorang daripada penulis thriller terhebat dunia.
“Beberapa minggu lalu, saya duduk bersamanya menyaksikan dokumentari baru yang menyentuh perjalanan hidupnya... dan saya teringat akan kehidupan yang luar biasa yang dilaluinya,” kata ejennya, Jonathan Lloyd.
Setelah menjadi antara juruterbang termuda Tentera Udara Diraja Britain (RAF), beliau beralih kepada kewartawanan dan menggunakan kemahiran berbahasa Jerman, Perancis dan Rusia untuk menjadi wartawan asing di Biafra.
“Terkesima dengan apa yang dilihatnya dan berdasarkan pengalamannya sebagai ejen perkhidmatan rahsia, beliau menulis novel pertama dan barangkali yang paling terkenal, The Day Of The Jackal, sekali gus menjadikannya penulis terkenal di seluruh dunia.
“Beliau kemudiannya menghasilkan lebih 25 buah buku (banyak daripadanya diadaptasi ke filem) yang telah terjual lebih 75 juta naskhah.
“Pemergiannya amat dirasai keluarga, rakan-rakan, semua yang berada di Curtis Brown dan tentunya berjuta-juta peminatnya di seluruh dunia — meskipun karya-karyanya akan terus hidup buat selama-lamanya,” katanya.