SEREMBAN: Seorang pengerusi pusat pengajian al-Quran swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun sejak Mac hingga Ogos lepas.

Tertuduh Mohd Hafidz Eshak, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu masing-masing di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar dan di pusat pengajian berkenaan di Port Dickson sekitar 3 petang hingga 11 malam antara awal Mac hingga 28 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan bersama syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa dan saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh merupakan pengerusi sekolah swasta yang beroperasi daripada dana orang ramai dan bantuan Bailtulmal.

“Ini bermaksud ia bukan satu institusi membuat keuntungan tetapi meminta ehsan masyarakat dan pihak berkuasa agama negeri,”katanya sambil menjelaskan bahawa kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kes eksploitasi kanak-kanak di rumah amal yang dikaitkan dengan sebuah syarikat kumpulan perniagaan bumiputera.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh menganggu saksi serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 29 Okt depan untuk serahan dokumen dan laporan perubatan.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Port Dickson, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal wanita berusia 19 tahun di pusat pengajian sama pada 6.40 petang,18 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Uthman Abd Ghani menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Okt ini.