KOTA BHARU: Seorang wanita warga Thailand yang bertindak sebagai penghantar ditahan kerana disyaki menyeludup pelbagai jenis produk kesihatan yang dianggarkan bernilai RM7,360 dalam Operasi Taring Wawasan semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata wanita berusia 25 tahun itu yang memandu kereta jenis Honda City dalam keadaan mencurigakan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Rantau Panjang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis produk kesihatan tanpa dokumen yang sah yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam keretanya.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, kesemua produk kesihatan dari Thailand itu untuk dijual ke pasaran tempatan dan dibawa secara haram.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes di siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, PGA menahan seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 27 tahun atas kesalahan dadah di SJR Lalang Pepuyu, Rantau Panjang semalam.

Nik Ros Azhan berkata suspek ditahan pada 3.40 petang selepas didapati menunggang motosikal jenis Honda dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu botol kecil mengandungi empat biji pil kuda dianggar bernilai RM40 di dalam poket seluar suspek.

“Suspek juga disahkan positif methamphetamine dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya.