• 2023-11-15 09:30 AM

KUALA LUMPUR: Pengurangan kebergantungan kepada makanan import akan menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan makanan, sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, demikian menurut pakar tempatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh berkata langkah itu, seperti yang digesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, akan membawa impak positif kepada pengeluaran makanan tempatan dan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Saranan itu juga berupaya merangsang inovasi dan pertumbuhan industri agromakanan negara ... serta memperlahankan aliran modal keluar negara.

“Kesan lain dapat menurunkan defisit dagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan luar negeri ... pada masa sama, ia mungkin akan memberi kesan positif terhadap nilai mata wang tempatan,” katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil agromakanan memerlukan masa, sumber tanah, tenaga manusia, kemahiran, kepakaran dan ekosistem perniagaan yang menyeluruh.

Beliau berkata sekiranya keperluan itu dapat diwujudkan dan dilaksanakan dengan baik, kebergantungan negara kepada sumber makanan luar akan berkurangan.

“Buat masa ini, penggunaan tanah dalam sektor pertanian banyak disalurkan kepada penanaman kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh juta hektar berbanding 1.2 juta hektar bagi sektor agromakanan.

“Selain itu, kemahiran dan penggunaan teknologi dalam sektor agromakanan perlu ditingkatkan bagi memastikan hasil dan produktiviti pengeluaran makanan dapat ditingkatkan,” katanya.

Mohd Afzanizam turut mencadangkan agar sumber dana seperti geran dan pembiayaan dalam sektor agromakanan ditambah supaya proses pembinaan kapasiti dalam sektor itu dapat dilaksanakan dengan baik.

Pada 11 Nov lepas, Anwar berkata kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion tahun lepas merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.

Perdana Menteri berkata trend juga menunjukkan peningkatan defisit perdagangan dalam sektor agromakanan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, justeru potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara. –Bernama