KUALA LUMPUR: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Besar dan pengurus besarnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini masing-masing atas 34 pertuduhan menjual minyak diesel bersubsidi sebanyak 382,080 liter kepada sebuah syarikat pemborong diesel tanpa lesen sah dan gagal menyelenggara buku stok berkenaan transaksi itu, Februari lepas.
Pengurus Besar PNK Sungai Besar Fikri Mohd Khomari, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan persatuan itu yang diwakili pengerusinya Hamdan Ujang mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-17, Fikri didakwa menjual secara borong barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 382,080 liter kepada Perniagaan Soon Wang Trading, yang melanggar Subperaturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di premis persatuan itu di pekan Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor antara 2 Feb dan 4 Mac lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2005) yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Persatuan itu turut didakwa atas 17 pertuduhan melibatkan transaksi penjualan minyak diesel sama, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 22 (2) akta serupa yang membawa hukuman denda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM5 juta, jika sabit kesalahan.
Fikri turut didakwa atas 17 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok yang tidak mengandungi maklumat berkaitan butiran nama dan alamat pembekal, harga belian, nama dan alamat pembeli, harga jualan barang kawalan bagi transaksi penjualan minyak diesel antara 2 Feb dan 4 Mac lepas, yang melanggar Subperaturan 13 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis sama pada 5 Mac 2024 mengikut Seksyen 22 (1) akta serupa yang membawa hukuman sama.
Persatuan terbabit juga didakwa atas 17 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok sama, di lokasi serupa, mengikut Seksyen 22 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap Fikri bagi kesemua 34 pertuduhan dengan syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Jumlah jaminan yang ditawarkan adalah bersesuaian memandangkan kes melibatkan kepentingan awam dan OKS telah menyalahgunakan subisidi minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan.
“Minyak diesel itu sepatutnya dijual kepada peruncit iaitu nelayan tetapi OKS telah menjual minyak yang diperoleh dengan harga subsidi kepada syarikat pemborong diesel yang tidak berlesen,“ kata Mohd Sophian yang turut dibantu Mohamad Hakiim Izani.
Fikri diwakili peguam Navin Punj manakala PNK diwakili peguam Mohaji Selamat.
Mahkamah membenarkan Fikri diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi 34 pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes.