MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menzahirkan komitmen untuk memastikan pengalaman yang lancar dan teratur bagi semua jemaah pada musim haji tahun ini menerusi perancangan rapi serta pemantauan berterusan terhadap semua petunjuk operasi.
Penolong Timbalan Setiausaha bagi Perkhidmatan Jemaah Haji dan Umrah di kementerian itu, Dr Mohammad Ali Batouk berkata pusat operasi khas kementerian memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan awam dan menyelaras perkhidmatan bagi memenuhi keperluan jemaah dari seluruh dunia.
Dalam satu lawatan media, Dr Mohammad menjelaskan bahawa kementerian menjejak setiap fasa perjalanan jemaah, bermula daripada pengeluaran visa, penyusunan penerbangan, ketibaan di lapangan terbang, pengangkutan dan penginapan, sehinggalah kepada tahap kesediaan kemudahan tempat penginapan.
“Pusat ini meneliti semua petunjuk operasi ini dengan teliti bagi memastikan perjalanan ibadah haji berjalan lancar dan teratur. Matlamat utama kami ialah agar jemaah dapat menunaikan ibadah mereka dengan selesa dan tenang,” katanya.
Pusat itu juga bekerjasama rapat dengan pelbagai sektor kementerian dan berhubung terus dengan penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.
Dr Mohammad menekankan bahawa maklum balas daripada jemaah diambil serius dan sebarang isu yang dibangkitkan akan ditangani segera bagi meminimumkan gangguan.
“Operasi ini dipantau 24 jam sehari, bermula sejak musim haji lalu hingga berakhirnya musim haji semasa, insya-Allah. Kami komited untuk menyelesaikan sebarang cabaran dan memastikan pengalaman jemaah adalah positif,” tambahnya.
Semasa taklimat itu, wakil media antarabangsa mengemukakan pertanyaan mengenai langkah untuk menangani kehadiran jemaah tanpa kebenaran.
Dr Mohammad memberi jaminan bahawa kementerian bersama jabatan berkaitan sentiasa berusaha menguruskan kelulusan permit serta mengekalkan disiplin dalam kalangan penyedia perkhidmatan dan jemaah.
“Langkah yang dilaksanakan bertujuan memastikan hanya jemaah yang sah menerima perkhidmatan, sekali gus memelihara integriti ibadah haji dan menjamin pelaksanaan haji yang selamat dan teratur,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perkembangan ketibaan jemaah serta maklumat berkaitan dikemas kini setiap hari menerusi akaun media sosial rasmi kementerian.
Lebih dua juta jemaah dijangka menunaikan ibadah haji tahun ini.