GENEVA: Buat pertama kali dalam tempoh lima dekad, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Isnin bersetuju menaikkan status Palestin daripada “gerakan pembebasan nasional” kepada “negara pemerhati bukan anggota”, lapor Anadolu Ajansi.

Keputusan itu dicapai secara konsensus semasa Jawatankuasa Hal Ehwal Am pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 di Geneva. Resolusi akhir dijangka diterima secara rasmi dalam sesi pleno pada Khamis.

Langkah itu menyelaraskan kedudukan ILO dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain seperti UNESCO dan WHO, susulan Resolusi ES-10/23 Perhimpunan Agung PBB pada Mei 2024.

Dengan peningkatan status ini, Palestin kini menikmati hak yang lebih luas dalam ILO, termasuk menyampaikan kenyataan bagi semua perkara dalam agenda, mengemukakan cadangan, dan menyertai semua mesyuarat bersama delegasi tiga pihak. Palestin juga memperoleh hak untuk mencalonkan wakil ke Biro Persidangan bermula 2026.

Duta Besar Ibrahim Khraishi menyambut baik keputusan itu dalam satu kenyataan, menyifatkannya sebagai “tindak balas tegas dan jelas terhadap penolakan Knesset Israel terhadap penubuhan sebuah negara Palestin”.

“Ada pihak yang masih menolak keadilan dan terus mengamalkan dwistandard, sekali gus menjejaskan prinsip keluhuran undang-undang dan keadilan antarabangsa,” tambahnya.

Khraishi turut mengkritik Hungary - satu-satunya negara yang menentang resolusi itu - dengan berkata: “Kami terkejut dengan pendirian Hungary, lebih-lebih lagi kerana negara itu telah mengiktiraf Negara Palestin seawal 1988.”

Resolusi itu mendapat sokongan padu daripada Kumpulan Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara termasuk Perancis, China, Sepanyol dan Switzerland. Kedua-dua kumpulan Majikan dan Pekerja turut menyokong resolusi tersebut, dengan menekankan keperluan kemanusiaannya dan keselarasan dengan nilai ILO.

“Langkah ini bukan sekadar simbolik,” kata Khraishi, sebaliknya merupakan “sebahagian daripada perjuangan nasional dan politik rakyat Palestin yang sah demi keadilan, kedaulatan dan hak menentukan nasib sendiri.”