SEREMBAN: Seorang pengurus tapak syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang di sebuah pusat beli-belah di sini pada Isnin lepas.
R Suresh Khanna, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, Suresh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap B Nagarajah, 40, dengan menggunakan parang di kedai telekomunikasi di sebuah pusat beli-belah di sini, kira-kira 8.10 malam, 14 April.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon agar tiada jaminan diberikan terhadap Suresh kerana kesalahan dilakukan adalah serius serta mengambil kira keadaan ahli keluarga mangsa yang masih berada dalam ketakutan.
Peguam Thayalan Moorthy yang mewakili tertuduh , memohon agar mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada anak guamnya atas alasan tertuduh merupakan warga tempatan, mempunyai tempat tinggal tetap di Port Dickson, tidak berisiko melarikan diri serta bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang prosiding kes.
“Suresh sudah berkahwin dan memiliki tiga anak. Saya memohon mahkamah dapat memberikan jaminan rendah kepada tertuduh, dia juga mempunyai beberapa penyakit seperti hipertensi dan gout.
“Dia bekerja sebagai pengurus tapak di sebuah syarikat swasta di Port Dickson dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan keluarganya hari ini dapat mengumpul RM8,000 untuk membayar jaminan jika dibenarkan,“ katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes tetak di sebuah pusat beli-belah di Seremban pada 14 April dan Ketua
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kesemua suspek berusia 35 hingga 47 tahun ditahan di sekitar Port Dickson kira-kira 5 petang, 15 April.