SUNGAI PETANI: Semua 375 pengusaha stesen minyak di negeri ini diarahkan untuk tidak menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang kepada kenderaan berpendaftaran tempatan atau asing pada hari yang sama, berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata arahan itu telah diserahkan kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri ini dalam satu pertemuan pagi tadi.

“Arahan Pengawal ini dikeluarkan berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan penjualan diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari yang sama kepada kenderaan berpendaftaran tempatan dan asing, berkuat-kuasa serta-merta.

“Arahan ini terpakai kepada semua 375 stesen minyak dan pemegang lesen runcit bahan api diesel dan semua gred petrol bagi negeri Kedah,“ katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada pengusaha stesen minyak di Kedah di sini hari ini.

Azman berkata penganjuran program itu bukan hanya untuk menyerahkan Arahan Pengawal sebaliknya turut diadakan sesi advokasi bagi memberi kefahaman kepada pengusaha stesen minyak terhadap arahan tersebut serta peranan yang perlu dimainkan.

“Kita juga memohon kerjasama daripada pengusaha stesen minyak ini supaya terus menjadi mata dan telinga KPDN bagi menyalurkan maklumat sekiranya terdapat elemen penyelewengan dan ketirisan kerana apa yang kita tahu subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan melibatkan satu jumlah sangat tinggi.

“Jadi, inisiatif yang kita laksanakan di Kedah diharap berjaya mengurangkan kes melibatkan ketirisan dan dalam masa sama dengan peranan yang dimainkan oleh stesen minyak ini akan membantu kita menyalurkan maklumat serta memastikan bekalan untuk rakyat Kedah sentiasa dalam keadaan baik,“ katanya.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya sering dimaklumkan mengenai masalah dihadapi stesen minyak di negeri ini yang terputus bekalan diesel dan petrol secara tiba-tiba.

“Terdapat juga rungutan orang ramai mendakwa mereka sukar mengisi minyak petrol atau diesel pada waktu pagi atau waktu tertentu kerana ada pihak lain yang turut cuba mengambil peluang mengisi minyak dan membuat penyelewengan,” katanya.

Azman turut mengingatkan pengusaha stesen minyak yang telah menerima Arahan Pengawal agar peka dan bertanggungjawab selain mematuhi arahan dan syarat lesen yang telah dikeluarkan kerana tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen sekiranya didapati bersubahat dengan penyeludup.