KUALA LUMPUR: Seorang peniaga didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota Imigresen bagi meminta wang daripada seorang lelaki warga Pakistan, tahun lepas.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nazrin Azmi, 22, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Muhammad Nazrin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Sri Sentosa di sini, pada 5 Julai 2024, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya, jika sabut kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa yang berusia 28 tahun dan memperkenalkan diri sebagai anggota Imigresen sebelum memasuki rumah dan menjalankan pemeriksaan terhadap pasport serta beg bagasi milik mangsa.

Tertuduh kemudian meminta wang sebanyak RM3,000 daripada mangsa atas alasan mangsa membawa rakannya bekerja tanpa permit kerja yang sah.

Terdahulu, Muhammad Nazrin merayu agar dikenakan hukuman denda minimum dengan alasan ibu bapanya uzur, selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu.