• 2025-07-10 11:20 AM

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga lelaki mengalami kerugian besar mencecah RM500,639.50 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Kejadian ini dilaporkan berlaku selepas mangsa berusia 38 tahun itu tertarik dengan tawaran kerja berkomisen tinggi daripada seorang individu bernama ‘Nabila Puteri’ di Facebook pada 14 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor, mangsa diminta memuat turun aplikasi tertentu melalui pautan yang diberikan suspek. Mangsa kemudiannya perlu membuat pembelian pelbagai barangan untuk menerima komisen.

“Pada mulanya, mangsa berjaya menerima komisen selepas menyelesaikan beberapa tugasan. Namun, selepas membuat 38 transaksi tambahan ke 22 akaun bank berbeza, mangsa tidak lagi menerima sebarang bayaran,“ jelas Azli.

Mangsa yang kehilangan wang simpanan hasil jualan buah-buahan, barangan runcit, dan ternakan lembu terpaksa membuat laporan polis pada 2.49 petang semalam. Wang tersebut termasuk dana pinjaman rakan dan kad kredit. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan. - Bernama