• 2025-08-09 10:31 AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan denda RM9 juta ke atas seorang pedagang niaga hadapan kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen dan penipuan derivatif.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Azhidi Laili mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan.

Tertuduh dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman penjara berjalan serentak.

“Jika Mohd Azhidi tidak membayar denda, dia berdepan hukuman penjara tambahan 27 bulan selepas selesai menjalani hukuman,“ menurut kenyataan SC.

Mohd Azhidi didakwa melakukan kesalahan antara Mei 2013 dan Mac 2014 di Kuala Lumpur.

“Mengikut fakta kes yang diakui Mohd Azhidi, dia menipu sembilan mangsa dengan jumlah RM1.45 juta melalui skim pelaburan FCPO di bawah AmFutures Sdn Bhd yang tidak wujud,“ kata SC.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Mohd Azhidi kerana memperkenal diri sebagai wakil AmFutures tanpa kelulusan.

Mohd Azhidi didakwa pada 14 Feb 2022 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM250,000 serta syarat menyerahkan pasport.

Perbicaraan berlangsung dari Februari 2023 hingga Mac 2025 sebelum tertuduh menukar pengakuannya.

Seramai 28 saksi pendakwaan termasuk tujuh mangsa telah memberi keterangan di mahkamah.

Jaminan Mohd Azhidi dibatalkan pada 21 Mei 2024 selepas gagal hadir ke mahkamah dan melapor diri.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jaminan dibatalkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SC Mohd Izuddin Mohamad dan pegawai pendakwa lain. - Bernama