Your Title

KANGAR: Seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan negeri ini direman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan bayaran saguhati kepada saudara baru berjumlah RM132,000.

Menurut sumber perintah reman hingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang semalam ketika memberikan keterangan di Pejabat SPRM negeri,” kata sumber itu.

Sumber SPRM itu memberitahu lelaki yang berperanan mengumpul dokumen saudara baru dipercayai membuat tuntutan palsu untuk sumbangan melibatkan 49 mualaf dari 2022 hingga 2024.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.