CHUKAI: Seorang penjawat awam lelaki mengalami kerugian RM85,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan palsu yang dihubungi menerusi laman sosial.
Kejadian berlaku bulan ini selepas mangsa berusia 40 tahun itu tertarik dengan tawaran pulangan lumayan dalam bidang pelancongan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Razi Rosli, berkata mangsa telah melabur sejumlah RM175,510 melalui lapan transaksi ke dua akaun bank antara 19 hingga 24 Jun.
“Mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM90,510 sebelum menyedari dia telah ditipu,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam selepas gagal menghubungi wanita berkenaan dan ejen pelaburan terbabit.
Dalam kes berasingan, seorang penuntut kolej berusia 20 tahun turun membuat laporan polis hari ini selepas kerugian RM70,000 akibat sindiket penipuan telefon.
Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis mendakwa nama mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
“Disebabkan panik, mangsa membuat bayaran menggunakan wang pinjaman pendidikan dan pusaka yang diterima,“ kata Mohd Razi.