SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi kelonggaran kepada penjawat awam negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerja dari rumah sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu sebagai persediaan termasuk ketibaan delegasi luar negara bermula hari ini.
Beliau berkata penjawat awam dan anggota GLC boleh memohon kepada ketua jabatan masing-masing bagi mendapatkan pertimbangan sewajarnya berhubung kelonggaran bekerja dari rumah.
“Keputusan ini diambil supaya perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan, selain mengurangkan beban perjalanan penjawat awam akibat kesesakan aliran trafik,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta menawarkan fleksibiliti sama kepada pekerja mereka sekiranya menepati kemampuan dan kebolehan sistem syarikat.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kesejahteraan pekerja terjamin dan mengelak mereka terbeban dengan aliran trafik.
Pada Isnin lepas, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula 23 hingga 28 Oktober sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat seiring komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan awam.
Media melaporkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama akan dilencongkan secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Enam lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya ELITE (KLIA-Putrajaya), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (Subang-Jalan Duta), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (Sungai Buloh-Jalan Duta), Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi-Pusat Bandar). – Bernama