• 2025-08-24 08:28 AM

KUALA LUMPUR: Sorakan ‘Merdeka’ bergema di ruang legar Berjaya Times Square ketika pusat beli-belah ikonik itu menjadi lokasi program Pentarama Merdeka@HOHO anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan berkata pemilihan Berjaya Times Square memberikan nilai tambah kerana lokasi itu merupakan tarikan pelancong dan berkembang seiring pembangunan ibu kota.

“Berjaya Times Square telah lama wujud dan menjadi tumpuan bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong dari luar negara,“ katanya.

“Justeru, sepanjang Bulan Kebangsaan ini, kita mengambil kesempatan menjadikan lokasi ikonik ini sebagai pentas terbuka bagi menyemarakkan lagi semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.”

Beliau menekankan setiap lokasi jelajah menampilkan segmen persembahan berbeza yang menggabungkan elemen patriotik, budaya dan hiburan.

“Kita harap persembahan bermula dari Berjaya Times Square malam ini dapat menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat,“ ujarnya.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran Berjaya Times Square Alex Liew menyatakan kebanggaan pihaknya terpilih sebagai lokasi penganjuran program tersebut.

“Kami amat berbangga dapat bersama-sama meraikan sambutan ini sempena Bulan Kebangsaan di Berjaya Times Square,“ katanya.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia malah membuka ruang memperkenal budaya negara kepada pelancong.”

Program tahun kedua ini menampilkan persembahan nyanyian, tarian serta kuiz interaktif bertemakan kenegaraan.

Jalur Gemilang diedarkan kepada orang ramai sebagai simbol penyatuan dan kebanggaan nasional.

Jelajah menggunakan bas KL Hop On Hop Off yang dihias khas menjadi pentas bergerak mempromosikan mesej kenegaraan.

Program bermula di Berjaya Times Square diteruskan ke Sungei Wang sebelum berakhir di Pavilion Kuala Lumpur. – Bernama