ALOR SETAR: Seorang penunggang motosikal cedera selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Alor Setar-Kangar, Ayer Hitam, dekat Jitra, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 5.38 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 25 minit kemudian.

“ Pokok tumbang itu menghempap sebuah motosikal dan sebuah kereta. Penunggang motosikal mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan pemandu kereta terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

“Seramai sembilan anggota bomba yang terlibat telah membuat kerja-kerja pemotongan pokok tumbang berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.51 petang,“ katanya.