TANGKAK: Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan empat kenderaan di KM12, Lebuh AMJ Kesang, Sungai Mati, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 2.12 pagi.
“Kemalangan berlaku kira-kira 1 pagi apabila lelaki berusia 25 tahun berkenaan yang dalam perjalanan dari Melaka ke Muar dipercayai hilang kawalan terhadap motosikalnya lalu melanggar belakang kereta jenis Nissan Navara yang diparkir di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudian terjatuh dan dilanggar kereta jenis Nissan Almera yang datang dari arah belakang, sebelum kereta jenis Honda CR-V dari arah yang sama telah terlanggar motosikal mangsa yang berada di laluan.
Roslan berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi mengelak risiko kemalangan dan tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 48(1) akta sama terhadap pemilik atau pemandu yang ingkar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairul Azmi Ibrahim menerusi talian 011-12445836 bagi membantu siasatan.